MEI 2025

Enam Rang Undang - Undang Lulus, Premier Tekankan Kepentingan Kuasa DUN


KUCHING, 26 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan kepentingan kuasa perundangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta manfaat undang-undang baharu yang telah diluluskan. 

Menurut beliau, enam rang undang-undang telah diluluskan pada persidangan DUN kali ini, termasuk pindaan penting terhadap Land Code dan undang-undang biodiversiti.

“Saya ucap terima kasih kepada semua ahli DUN. Antara yang memberi kesan kepada ekonomi kita ialah pindaan Land Code yang membolehkan pendaftaran tanah wakaf serta tanah yang diberi oleh pemilik kepada masyarakat umum atau badan kebajikan,” katanya dalam ucapannya pada Majlis GPS Backbenchers Night di Dewan Santapan, DUN Sarawak.

Beliau berkongsi pengalaman peribadi di mana tanah yang telah diwakafkan ditarik balik oleh waris selepas kematian pemilik asal, disebabkan tiada perlindungan undang-undang ketika itu. Dengan pindaan ini, katanya, pemberian tanah atas dasar amanah dapat diiktiraf secara sah dan didaftarkan.

“Ini bukan soal agama. Ia sistem pentadbiran yang membolehkan kita daftar tanah dan urus dengan lebih tersusun. Kita juga guna digitalisasi, jadi banyak transaksi tanah kini menggunakan dokumen digital,” jelasnya.

Turut diluluskan ialah undang-undang biodiversiti yang membuka ruang komersialisasi hasil penyelidikan, khususnya oleh Sarawak Biodiversity Centre (SBC).

“Kalau dulu tak dibolehkan. Kini SBC boleh pegang ekuiti dalam perusahaan yang berpunca daripada penyelidikan seperti algae. Ini penting supaya hasil kajian kita ada nilai komersial dan tidak dimanfaatkan pihak luar,” kata beliau.

Abang Johari turut mengingatkan ahli DUN agar memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 95C(a) yang memberikan kuasa legislatif kepada DUN Sarawak.

“Ini asas kepada kuasa kita untuk buat undang-undang. GDO misalnya, tidak boleh dipertikaikan kerana elektrik dan gas adalah bidang kuasa negeri sejak 1963. Kuasa ini tak boleh dikompromi,” tegas beliau.